Category Archives: puisi

lambaian hijrah (puisi)

LAMBAIAN HIJRAH
Aladib Afzan

Dari jauh,
dia melambai ke arahku.

Tahun yang berlalu,
mengucapkan ma’as salamah;
tahun yang mendatang,
medakapku,
lantas mengucapkan ahlan wasahlan.

Biarkan tahun yang berlalu,
menjadi dedaunan yang gugur;
nantikan tahun yang mendatang,
menjadi bunga yang bakal merimbunkan buah;
mungkin enak dirasa,
mungkin pahit ditelan.

Tahun yang mendatang,
genggamlah tanganku ini,
agar tidak ketinggalan berterusan di belakang mu.

7.08 a.m
bumi padi.
malaysia

Leave a comment

Filed under penulisan sastera, puisi

tribute buat sahabat (allahyarhamhu illham ellani jamal)

Tribute Buat Sahabat

-Dedikasi buat Allahyarhamhu Illham Ellani Jamal (1988-2011)

Aladib Afzan

 

Sunnatullah datang silih berganti,

itulah coretan lauhul mahfuz.

 

Saat ku menerima perkhabaran itu,

mindaku terbuai kenangan lalu;

tatkala ku menjabatkan tangan persaudaraan

tanda hormat dan kasih sebagai seorang abang.

 

Meskipun taaruf sekelumit cuma,

dapat ku bayangkan semangat itu,

ruh persahabatan yang bertaut antara kita,

terisi biarpun berjauhan.

 

Senyumanmu, riangmu, tawamu,

menjengah ke ingatanku,

mencambah benih- benih ukhuwwah antara kita.

 

Kini,

semua itu hanya memori,

sebahagian dari lembaran skrip,

yang takkan diimbas kembali,

di atas pentas kehidupan.

 

Hanya inilah titipanku buatmu,

doaku dari bumi bertuah,

selamat jalan duhai sahabat;

berehatlah dikau di alam sana

pastinya kami akan menyusulmu duhai sahabat.

 

Wahai tuhan yang maha hidup lagi teguh berdiri,

kau tempatkan suratan amalannya di dalam ‘Illiyyin

kau peliharalah dia dari siksa Jahannam,

kau jemputlah dia ke dalam Firdausi,

untuk menikmati janjimu yang berkekalan abadi.

 

Sayonara Illham Ellani,

kenangan kita akan ku pateri dalam sanubariku,

buat selamanya.

 

darul aman,

4 dis 2011

0050 (12.50 a.m)

Leave a comment

Filed under puisi

puisi: duhai pemimpin!

Duhai pemimpin!

lihatlah ke dalam jiwamu

apakah kau seorang al-amin?

atau seorang munafiq?

duhai pemimpin!

rasai nadi perjuanganmu,

apakah bersuluh cahaya rabbani

atau bermalapkan zulmat syaitani?

duhai pemimpin!

tika kau diangkat

apakah kau ingati lagi janjimu

atau semakin lupus dek kealpaanmu pada kuasa?

ingatlah

setiap ama dan kuasamu

bukan mainan senjata

bahkan mehnah ujian

jangan sesekali alpa akan kuasamu

nanti musnah impianmu

gelaran al-amin itu semakin kabur

andai dikau lupa daratan.

Leave a comment

Filed under penulisan sastera, puisi

puisi: menerobos ke ruang mata hati

Menerobos ke Ruang Mata Hati


Dirimu kini,

semakin lesu dek kealpaan

cerminan peribadi semakin suram;

Apakah dikau lena

mengantuk disorongkan bantal duniawi?

 

Di mana cermin mata hatimu;

semakin buta , buta, dan terus buta

ultra celikmu semakin lama semakin kabur

semakin kelam.

 

Menerobos ke ruang mata hati,

mencari di mana silap

gegar kalbumu

semakin kurang.

 

Sebelum kalbumu pecah berderai,

bak cermin terhempas di lantai;

carilah kembali dirimu yang lalai

agar tidak lagi lena dibuai

dek mimpimu dan dirimu yang longlai.

 

fakulti sastera dan sains kemanusiaan,

mafraq, jordan

15-11-2009

Leave a comment

Filed under puisi

Setahun Kehilangan Mahmoud Darwish

Genap setahun pemergian seorang penyair yang memperjuangkan pembebasan tanah Palestin, Mahmuod Darwish. beliau yang meninggal pada 9 Ogos 2008 akibat komplikasi jantung, telah  menghasilkan pelbagai ragam puisi yang sebahagiannya didedikasikan kepada bumi Quds.  Lihat sahaja beberapa puisi beliau yang menceritakan betapa pedihnya kesengsaraan yang ditanggung masyarakat Palestin ketika ini. Betapa puisi yang dihasilkan mengangkat martabat rakyat Palestin dan meningkatkan semangat jihad para pejuang di sana.

Nama beliau yang setanding As-sayyab, Salah Abdul Sabur dan sebagainya merupakan penyair prolifik yang menulis segala bentuk puisi, dari bentuk klasik  sehingga ke puisi bebas. Ramai pengkritik menulis buku yang berkaitan khusus penulisan beliau, di mana para pengkritik mengkagumi hasil dan penat lelah beliau sepanjang hayat dalam menghasilkan puisi, baik semasa beliau berada di Palestin, atau ketika beliau berada dalam buangan, namun semua puisi yang terkandung dalam antologi- antologi beliau mengandungi pelbagai ragam makna yang tersirat.

Dari perspektif sastera, beliau telah memenangi pelbagai anugerah, dan karya- karya beliau telah diterjemahkan ke lebih daripada 20 bahasa. antara anugerah yang diperolehi sepanjang hayat beliau, Anugerah Lotus (1969), Anugerah Ibn Sina oleh Kesatuan Eropah (1983), Hadiah Laut Meditterenean (1981), disamping kerajaan Palestin mengabadikan beliau dalam setem keluaran khas pada 27 Julai 2008.

Dalam pada itu, beliau telah menghasilkan lebih daripada 20 antologi, sebahagian besarnya adalah antologi puisi, dan sedikit sahaja berbentuk prosa. antara karya beliau yang terkenal ialah ‘Asafir Bila Ajnihah (Burung-burung Tanpa Sayap)- 1960,  Yawmiyyat Jurh Filastini (Diari Duka Seorang Palestin) – 1969, Jidariyya (Mural) – 2000, Laa Ta’tazir ‘Amma Fa’alta (Jangan Minta Maaf Atas Apa Yang Kau Lakukan) – 2003 , dan sebagainya. Inilah sebahagian daripada himpunan puisi beliau yang menjadi tatapan para pembaca dan pengkritik.

Bukan sahaja puisi beliau menjadi tatapan umum, bahkan sebahagian puisi beliau diabadikan dalam bentuk muzikal dan beliau didokumentasikan dalam dokumentari khas berjudul Mahmoud Barwish pada 1997.

Namun kini, beliau sudah tiada. Hanya karya- karya beliau diabadikan dan akan menjadi tatapan umum generasi Palestin yang mendatang. Sekalipun jasad beliau kembali ke asalnya, namun segala yang ditinggalkan pasti akan di kenang sampai bila- bila.

2 Comments

Filed under penulisan sastera, puisi

salam mesra dunia sastera

salam mesra dari bumi sastera. saya teruja apabila pertama kali ditawarkan untuk menghantar puisi antologi sayembara puisi islam gkln. sebenarnya saya tiada pengalaman dalam penghasilan karya mahupun menulis karya untuk diterbitkan. apabila memikirkan rezeki yang datang, keputusan dibuat saya harus menerimanya, bak kata pepatah ‘pucuk dicita ulam mendatang’.

baiklah, apa yang ingin saya perkatakan di sini adalah mengenai dunia sastera melayu, yang semakin lama semakin menampakkan kesuraman. di manakah sensitiviti kita terhadap sastera? adakah kerana subjek sastera adalah satu subjek berat yang bagi mereka yang tidak pernah merasa jerih payah menghasilkan sesuatu karya? ataupun sekarang ini terdapat lambakan karya- karya cinta yang ada kalanya mengganggu ketenteraman dunia sastera?

bagi mereka yang bukan dalam lingkungan sastera, mereka dengan mudah akan mengatakan bahawa novel cinta juga dinilai sebagai sastera. bagi saya, novel cinta tidak dikira sebagai karya sastera, kerana tiada nila estetika yang terkadung padanya. novel yang berimaginasikan khayalan cinta semata- mata tidak ada nilai seni dan sastera padanya. lain halnya dengan karya- karya yang berjenamakan islami, tetapi tersirat makna cinta, yang ada kalanya merosakkan nilai sastera itu sendiri. saya tidak mengatakan cinta illahi itu merosakkan nilai sastera, tetapi nilai- nilai cinta manusiawi itulah yang merosakkan nilai sastera.

bukanlah maksud saya untuk memulakan polemik terhadap sastera melayu, tetapi tunjang sastera yang dirintis oleh sasterawan seperti allahyarham dato’ usman awang, a.samad said, dan sebagainya telah dicemari dengan anasir- anasir kita. apakah cukup untuk kita melihat sastera yang cukup indah, bersulamkan nilai- nilai tinggi rapuh dek nilai- nilai cinta? saya cukup teruja dengan novel- novel karya penulis seperti faisal tehrani, yang bagi saya lebih memberatkan nilai- nilai keislaman tanpa menyulamkan cinta sebagai pewarna karya beliau. malang disebabkan ramai kita yang terlalu buta mata hati untuk menilai harga sesuatu karya. mereka lebih puas mengatakan nilai- nilai komersial dalam karya- karya cinta lebih bernilai. apakah kita suka melihat kerapuhan bahasa ibuda kita, hanya kerana rojaknya bahasa dalam karya-karya cinta? fikirkan semua ini kerana dunia bahasa kita semakin lama semakin suram.

saya suka melihat karya- karya prosa arab yang ditulis banyak menggumam tema- tema kemanusiaan, seperti novel ‘mausimul hijrati ila as-syimal‘ yang ditulis oleh at-tayyib saleh dari sudan, dan novel ‘anta munzul yawm‘ oleh taysir as-sabul dari jordan. kalau dari aspek puisi, kita boleh kaji karya- karya mahmoud darwish, badr syakir as-sayyab, nazikul malaikah, abdul wahhab bayyati, dan sebagainya. ini lah role model dunia kesusasteraan arab.

insya allah, di dalam penulisan yang akan datang, saya akan menceritakan tentang kebangkitan sastera arab moden. berjumpa lagi di dunia yang akan datang.

1 Comment

Filed under penulisan sastera, puisi