Category Archives: penulisan sastera

lambaian hijrah (puisi)

LAMBAIAN HIJRAH
Aladib Afzan

Dari jauh,
dia melambai ke arahku.

Tahun yang berlalu,
mengucapkan ma’as salamah;
tahun yang mendatang,
medakapku,
lantas mengucapkan ahlan wasahlan.

Biarkan tahun yang berlalu,
menjadi dedaunan yang gugur;
nantikan tahun yang mendatang,
menjadi bunga yang bakal merimbunkan buah;
mungkin enak dirasa,
mungkin pahit ditelan.

Tahun yang mendatang,
genggamlah tanganku ini,
agar tidak ketinggalan berterusan di belakang mu.

7.08 a.m
bumi padi.
malaysia

Leave a comment

Filed under penulisan sastera, puisi

sambungan kaitan sastera melayu-arab

Assalamualaikum…. rasanya terperam lama saya tidak mengeluarkan post-post terbaru daripada sastera melayu-arab…

rasanya ada beberapa perkara di dalam sastera melayu- arab yang masih perlu diperbincangkan dan diperhalusi… antara yang menjadi persoalan ialah perkaitan antara puisi Hamzah Fansuri dengan puisi ahli- ahli tasauf arab antaranya Ibn ‘Arabi dan Ibn Ar-Rumi… disamping pengaruh yang terdapat di dalam naskhah puisi “Al-Amin” oleh A.Samad Said, di mana ada yang mengatakan bahawa puisi ini menyerap beberapa sumber islam yang utama, antaranya sirah Nabi S.A.W dan beberapa buah puisi yang dikenali sebagai  “Al-Burdah”. mungkin inilah yang memberi impak yang besar di dalam perkembangan sastera melayu.

Apa yang perlu menjadi persoalan kini, apakah novel- novel islami kini banyak mengambil pengaruh persekitaran masyarakat yang sarat dengan elemen-elemen timur tengah? mungkin bagi mereka yang membaca tanpa memberikan komentar, mereka akan berpendapat sedemikian. Tetapi, saya berpendapat bahawa ada sebahagian novel- novel islami kini banyak mengambil pengaruh timur barat, terutamanya negara- negara arab, tetapi masih kurang menggarapkan sepenuhnya ruang yang ada bagi memberikan satu latar tempat yang menarik minat pembaca untuk terus mengkaji dan memahami novel islami. Inilah sebabnya kenapa kebanyakan novel islami kurang mendapat tempat di kalangan masyarakat berbanding novel picisan yang terdapat di pasaran kini.

Inilah peluang kita untuk terus mendekati dan memahami fungsi sebenar sesuatu karya itu dihasilkan.

Di dalam perbincangan yang lain, saya akan cuba mengupas beberapa perkara yang terdapat di dalam ruang perbincangan sastera bandingan arab.

Leave a comment

Filed under penulisan sastera

puisi: duhai pemimpin!

Duhai pemimpin!

lihatlah ke dalam jiwamu

apakah kau seorang al-amin?

atau seorang munafiq?

duhai pemimpin!

rasai nadi perjuanganmu,

apakah bersuluh cahaya rabbani

atau bermalapkan zulmat syaitani?

duhai pemimpin!

tika kau diangkat

apakah kau ingati lagi janjimu

atau semakin lupus dek kealpaanmu pada kuasa?

ingatlah

setiap ama dan kuasamu

bukan mainan senjata

bahkan mehnah ujian

jangan sesekali alpa akan kuasamu

nanti musnah impianmu

gelaran al-amin itu semakin kabur

andai dikau lupa daratan.

Leave a comment

Filed under penulisan sastera, puisi

bermulanya fasa baru sebagai sasterawan muda

assalamualaikum… sudah lama saya tidak menulis di dalam blog ini, maklumlah kesibukan menghadapi dunia kampus yang amat memberatkan, tetapi semester musim luruh telah saya tinggalkan untuk menghadapi semester musim bunga yang terakhir di bumi jordan. namun, sepanjang cuti yang singkat ini apa yang perlu saya buat? tidur? bermain internet? atau menghabiskan waktu senggang dengan aktiviti yang bermanfaat? jawapannya, saya akan memulakan azam baru saya dengan memulakan penulisan novel yang sebenarnya bukan sebahagian daripada kemahiran saya. justeru saya inginkan sebuah  iltizam yang jitu dan segala cabaran yang perlu saya tempuhi untuk merealisasikan hasrat saya ini.

ramai yang akan memandang sinis akan azam saya yang satu ini. kerana mereka mengetahui yang saya ini jarang bersungguh dalam melaksanakan segala segala perancangan… jujur saya mengakui akan kelemahan yang satu itu, tetapi dengan kesungguhan saya untuk bergelar yang terbaik, disamping cuba mengambil semangat yang ditiupkan oleh saudara hilal asyraf, penulis muda mapan yang terkenal dengan novel islami, saya cuba untuk menghasilkan sebuah novel ringkas. mungkin bukan panjang tetapi sebagai permulaan sebuah novel islami untuk para remaja. inilah yang saya cuba akan lakukan. tetapi bagaimana hendak memulakannya?

sebuah novel yang sarat dengan nilai- nilai murni yang diterapkan di dalam ajaran islam, menjadi impian para penulis islami yang inginkan pembaharuan di dalam sastera, berkemungkinan untuk mewujudkan sebuah falsafah adabul iltizam yang bertunjangkan seni untuk islam, itulah garapan saya untuk menghasilkan sebuah karya yang penuh makna tersurat dan tersirat.

doa saya yang ringkas tetapi kudus, biarlah allah memperkenankan doa saya supaya saya dapat menghabiskan penulisan novel ini dalam tempoh dua minggu sebelum bermulanya kelas terakhir musim bunga di bumi isra ini. amin… sesiapa yang boleh berkongsi ilham untuk sebuah novel yang mungkin saya namakan dengan nama “Dari Bumi Kinabalu ke Bumi Isra” ini bolehlah mengirimkan komentar ke blog ini…

terima kasih kerana menyokong saya…

Leave a comment

Filed under penulisan sastera, semasa

REALISMA DI DALAM NOVEL VT OLEH HILAL ASYRAF

REALISMA DI DALAM NOVEL VT OLEH HILAL ASYRAF

Realisma merupakan salah satu daripada bentuk kritikan moden, di mana realisma melihat kepada keupayaan sesorang penulis untuk mengaplikasikan segala idea yang ada melalui pengalaman dan keadaan reality di dalam masyarakat.

Di dalam kajian sastera, banyak pengkritik sastera rumpun arab memilih Naguib Mahfouz sebagai ikon di dalam penghasilan karya- karya berunsur realisma. Dan di dalam penulisan ini, penulis akan menumpukan aspek realisma dan hubungkait dengan islamisasi di dalam novel “VT” yang ditulis oleh Hilal Asyraf.

Salah satu realisma yang ditonjolkan di dalam novel ini ialah pemilihan watak dan latar. Pemilihan watak bersesuaian dengan realiti kumpulan bola tampar Ma’had Attarbiyyah Al-Islamiah Perlis (MATRI), dan kesemua watak yang dipaparkan di dalam novel ini adalah watak sebenar di dalam pasukan bola tampar tersebut. Lihat beberapa nama yang diambil sebagai watak- watak di dalam novel tersebut, seperti watak Zulkarnain, Farhan, Abdul Qahar, Ustaz Saiful Rahman, Ustaz Mahadzir, dan sebagainya. Mereka ini adalah pelajar- pelajar asal MATRI yang bermain untuk pasukan bola tampar sekolah tersebut dan secara kebetulan pasukan mereka menjulang trofi utama kejohanan bola tampar Majlis Sukan Sekolah- Sekolah Perlis (MSSP’S) untuk 2008.

Satu yang mungkin menjadi persoalan, bagaimana penulis menggunakan ruang lingkup pengalaman beliau di dalam menghasilkan novel yang mungkin orang anggap enteng kerana tidak memasukkan unsur cinta di dalam novel beliau yang dianggap islami? Pertama, beliau merasakan bahawa novel ini semestinya sarat dengan pelbagai nasihat dan pengajaran, di samping meletakkan nilai persahabatan dan kemanusiaan sebagai tema utama di dalam novel tersebut. Kedua, penulis merupakan salah seorang daripada pasukan bola tamper tersebut, dan beliau menulis novel ini sebagai perkongsian maklumat dan pengalaman beliau di dalam pasukan tersebut, yang banyak suka dan duka di dalam menempuh cabaran sebagai seorang pemain bola tampar.

Selain itu, plot yang disusun sepanjang penceritaan novel ini, ditumpukan dengan bebrapa kaedah, antaranya imbas kembali, seperti watak Asyraf yang mengimbas kembalik detik- detik kemerosotan sukan bola tampar di sekolah tersebut, selain dialog Ustaz Saiful yang mengimbas kembali semua taktik kotor Cikgu Senan di dalam karier beliau.

Pemilihan latar juga merupakan satu ciri penting di dalam menghasilkan sesuatu karya yang bersifat realiti, contohnya pemilihan tempoh persekolahan dari awal semester pertama (Januari) sehingga akhir cuti persekolah semester tersebut (akhir Mei- awal Jun), di samping pemilihan waktu kejohanan di pertengahan bulan Mei. Selain itu, penulis mengambil contoh beberapa tempat sebagaai rujukan latar ,misalnya pemilihan Perkampungan Tunjong, Beseri Perlis; di samping beberapa nama kampus di wilyah tengah dan selatan semenanjung, iaitu UIAM, USIM, KOUITHO, dan UTM. Manakala suasana masyarakat yang digambarkan di dalam novel ini digambarkan sebagai kumpulan pelajar yang menuntut di MATRI, Sekolah Sukan Negeri Perlis (SSNP), dan beberapa latar masyarakat penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Apa perkaitan antara islamisasi dan realisma yang digarap di dalam novel tersebut? Penulis menghubungkaitkan antara tiadanya hubungan antara pencipta dan manusia mewujudkan satu keadaan yang mungkin menjadi punca tiadanya hubungan yang erat antara manusia. Kerana itulah penulis cuba memasukkan unsur hubungan pencipta dengan manusia dan menyerap di dalam realiti pasukan bola tampar tersebut untuk menunjukkan bahawa walaupun tidak mempunyai stamina atau kemudahan sukan yang lengkap, tetapi hubungan yang erat antara tuhan dan manusia menjadi satu dari sebab kejayaan yang hakiki, duniawi atau ukhrawi.

Dari sudut gaya bahasa, penulis novel menggunakan langgam bahasa santai, yang tidak memberatkan pembaca untuk memahami apa yang digarap oleh penulis di dalam karya beliau, selain itu, penggunaan teknik dialog dan monolog diseimbangkan supaya pembaca tidak cepat bosan di dalam membaca dan menghayati novel tersebut. Setiap hujung bab di dalam novel itu ditutup dengan teknik saspen, supaya pembaca tertanya-tanya apakah kesudahan setiap bab tersebut.

Sebagai kesimpulannya, novel ini merupakan satu percubaan Hilal Asyraf untuk terjun ke dalam dunia penulisan sastera serius, dan novel ini boleh dikatakan mampu untuk menandingi kehebatan novel pop-islam yang terkenal seperti Ayat- Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan sebagainya. Mungkin inilah masanya untuk kita mengubah selera pembacaan kita daripada novel- novel pop-islami dan picisan kepada karya berunsur islam keseluruhannya.

4 Comments

Filed under penulisan sastera

review buku: min aafaqil adabil muqaran

Nama buku: Min Aafaqil Adabil Muqaran (Antara Harapan Di Dalam Sastera Bandingan)

Penulis: Prof. Dr. Daud Salum

Muka Surat: 415 muka surat

Penerbit: World of Book, Beirut, 1998

Buku ini merupakan himpunan kertas kerja yang ditulis oleh Prof. Dr. Daud Salum di dalam bidang sastera bandingan.

Buku ini mengandungi 414 muka surat, mengandungi 4 bab dan dipecahkan kepada beberapa bahagian yang memaparkan pengaruh sastera eropah  dan sastera asia, terutamanya sastera arab sendiri.

Bab pertama iaitu Antara Harapan Sastera Bandingan Eropah, di mana mengandungi beberapa ceraian yang merangkumi pelbagai gambaran pengaruh sastera arab dan eropah di dalam penulisan dan pembukuan sastera. Antaranya pengaruh di dalam kitab Alf Laylah Wa Laylah, dan pengaruh Shakespeare di dalam penterjemahan ke bahasa arab.

Manakala bab kedua pula merupakan bab yang menghimpunkan kertas kerja berkaitan kajian perbandingan di dalam sastera arab sendiri.  Antara kajian beliau termasuklah ” Fakta- fakta terkini berkaitan Juha dan jenakanya“, selain “Kritikan puisi antara ِAِl-Jahiz dan pengkritik barat“. Pengaruh inilah yang membentuk sastera bandingan di negara arab.

Bab ketiga pula adalah bab yang merangkumi 4 pecahan di dalam kajian kontemporari di dalam sastera bandingan di timur dan barat. Antaranya “Pengaruh bahasa dan sastera di Timur Afrika”, “Novel Sarkasi (Menanti Fajar) dan gambaran Islam padanya”, serta “Aliran romantisma dan realisma di dalam kisah-kisah puisi antara sastera Az-Zahawi dan Ar-Rasafi”.

Bab keempat dan terakhir mengandungi kajian bandingan arab kontemporari, realitinya dan sumber rujukannya, terdapat dua pecahan iaitu “Realiti Kajian Arab Bandingan Antara Ketidakmampuan dan Harapan”, serta “Kandungan Indeks Kajian Sastera Arab Bandingan Kontemporari“.

Gaya bahasa yang digunakan di dalam buku ini merupakan bahasa ringkas dan tidak berkias, disamping segala indeks rujukan dilampirkan di dalam buku ini.

Buku ini merupakan salah satu sumber rujukan di dalam sastera bandingan dan penulis buku ini merupakan salah seorang pakar di dalam kajian sastera bandingan di Jordan, walaupun beliau berasal dari Iraq.

Respon terhadapa buku ini: buku ini mungkin tidak ramai yang mengetahuinya, tetapi buku ini sesuai sebagai rujukan di dalam mendalami sastera bandingan di dunia arab.

Leave a comment

Filed under penulisan sastera

Setahun Kehilangan Mahmoud Darwish

Genap setahun pemergian seorang penyair yang memperjuangkan pembebasan tanah Palestin, Mahmuod Darwish. beliau yang meninggal pada 9 Ogos 2008 akibat komplikasi jantung, telah  menghasilkan pelbagai ragam puisi yang sebahagiannya didedikasikan kepada bumi Quds.  Lihat sahaja beberapa puisi beliau yang menceritakan betapa pedihnya kesengsaraan yang ditanggung masyarakat Palestin ketika ini. Betapa puisi yang dihasilkan mengangkat martabat rakyat Palestin dan meningkatkan semangat jihad para pejuang di sana.

Nama beliau yang setanding As-sayyab, Salah Abdul Sabur dan sebagainya merupakan penyair prolifik yang menulis segala bentuk puisi, dari bentuk klasik  sehingga ke puisi bebas. Ramai pengkritik menulis buku yang berkaitan khusus penulisan beliau, di mana para pengkritik mengkagumi hasil dan penat lelah beliau sepanjang hayat dalam menghasilkan puisi, baik semasa beliau berada di Palestin, atau ketika beliau berada dalam buangan, namun semua puisi yang terkandung dalam antologi- antologi beliau mengandungi pelbagai ragam makna yang tersirat.

Dari perspektif sastera, beliau telah memenangi pelbagai anugerah, dan karya- karya beliau telah diterjemahkan ke lebih daripada 20 bahasa. antara anugerah yang diperolehi sepanjang hayat beliau, Anugerah Lotus (1969), Anugerah Ibn Sina oleh Kesatuan Eropah (1983), Hadiah Laut Meditterenean (1981), disamping kerajaan Palestin mengabadikan beliau dalam setem keluaran khas pada 27 Julai 2008.

Dalam pada itu, beliau telah menghasilkan lebih daripada 20 antologi, sebahagian besarnya adalah antologi puisi, dan sedikit sahaja berbentuk prosa. antara karya beliau yang terkenal ialah ‘Asafir Bila Ajnihah (Burung-burung Tanpa Sayap)- 1960,  Yawmiyyat Jurh Filastini (Diari Duka Seorang Palestin) – 1969, Jidariyya (Mural) – 2000, Laa Ta’tazir ‘Amma Fa’alta (Jangan Minta Maaf Atas Apa Yang Kau Lakukan) – 2003 , dan sebagainya. Inilah sebahagian daripada himpunan puisi beliau yang menjadi tatapan para pembaca dan pengkritik.

Bukan sahaja puisi beliau menjadi tatapan umum, bahkan sebahagian puisi beliau diabadikan dalam bentuk muzikal dan beliau didokumentasikan dalam dokumentari khas berjudul Mahmoud Barwish pada 1997.

Namun kini, beliau sudah tiada. Hanya karya- karya beliau diabadikan dan akan menjadi tatapan umum generasi Palestin yang mendatang. Sekalipun jasad beliau kembali ke asalnya, namun segala yang ditinggalkan pasti akan di kenang sampai bila- bila.

2 Comments

Filed under penulisan sastera, puisi

dunia kritikan.. sampai ke mana?

salam alaikum… salam sejahtera dari bumi permai jordan (permai ker??) oklah, saya terus kepada point… dunia kritikan akan ke mana?? itulah satu persoalan yang perlu di jawab oleh semua yang mengikuti dunia sastera.

apa yang saya harapkan daripada dunia kritikan ini ialah kemahiran kita untuk berinteraksi dengan dunia sastera, tidak kira genre dan asal usul sastera itu. kerana dunia sastera adalah sesuatu yang kompleks, dan tanpa kritikan, sesuatu genre sastera menjadi tidak lengkap.

kerana itulah, kritikan sastera menjadi pelengkap kepada survival sastera itu sendiri. seperti yang dikatakan bahawa kebanyakan teori kritikan sastera melayu diambil dari kritikan sastera barat, akan tetapi kini beberapa cendikiawan sastera melayu memperkenalkan beberapa teori di dalam sastera melayu, yang mungkin memberikan manfaat kepada dunia sastera melayu yang semakin lama semakin menampakkan kesuramannya.

dan bagaimana pula dengan sastera arab? sastera arab banyak berpijak kepada inferens daripada ilmu retorik (balaghah), dan kerana banyak ulama terdahulu telah  membuka jalan kepada pembinaan teori sastera arab, yang mungkin menjadi panduan kepada sarjana barat, terutamanya dari perancis yang memperkenalkan beberapa aliran di dalam sastera, antaranya aliran klasik, aliran romantik, aliran barnasi, dan aliran perlambangan, dan seterusnya membawa sastera arab ke arah satu dimensi yang baru di dalam sejarah pekembangan kritikan sastera.

selain itu, kita tidak harus lupa kepada pemikir- pemikir sastera moden yang bertungkus lumus di dalam memperkenalkan satu cabang baru di dalam sastera arab, iaitu sastera bandingan.

apabila kita memperkatakan berkenaan sastera bandingan arab, kita akan mengingat beberapa perintis di dalam sastera bandingan arab, antaranya ruhi al-khalidi, qistaki al-himsi, sulaiman al-bustany; dan pengasas kepada gerakan sastera bandingan di universiti- universiti arab, iaitu muhammad hilal ghanimy, selain beberapa sarjana sastera bandingan seperti hussam al-khatib, muhammad khalid al-karaki (sekadar menyebut beberapa nama).

selain itu, dunia kritikan sastera moden diperhalusi lagi dengan beberapa teori yang mungkin menjadi perbincangan di kalangan sarjana kritikan moden. antaranya hubungkait antara sastera dengan beberapa cabang ilmu kemanusiann seperti psikologi, sosiologi; dan sebagainya. inilah yang menjadi penanda arus kepada  survival sastera di dunia timur tengah.

cukup sekadar itu yang mampu saya kongsikan kepada semua. harapnnya kita mampu untuk menjadi perintis kepada perkembangan teori kesusasteraan, tidak kira sastera melayu, inggeris, arab, ataupun dunia- dunia sastera yang lain.

Leave a comment

Filed under penulisan sastera

salam mesra dunia sastera

salam mesra dari bumi sastera. saya teruja apabila pertama kali ditawarkan untuk menghantar puisi antologi sayembara puisi islam gkln. sebenarnya saya tiada pengalaman dalam penghasilan karya mahupun menulis karya untuk diterbitkan. apabila memikirkan rezeki yang datang, keputusan dibuat saya harus menerimanya, bak kata pepatah ‘pucuk dicita ulam mendatang’.

baiklah, apa yang ingin saya perkatakan di sini adalah mengenai dunia sastera melayu, yang semakin lama semakin menampakkan kesuraman. di manakah sensitiviti kita terhadap sastera? adakah kerana subjek sastera adalah satu subjek berat yang bagi mereka yang tidak pernah merasa jerih payah menghasilkan sesuatu karya? ataupun sekarang ini terdapat lambakan karya- karya cinta yang ada kalanya mengganggu ketenteraman dunia sastera?

bagi mereka yang bukan dalam lingkungan sastera, mereka dengan mudah akan mengatakan bahawa novel cinta juga dinilai sebagai sastera. bagi saya, novel cinta tidak dikira sebagai karya sastera, kerana tiada nila estetika yang terkadung padanya. novel yang berimaginasikan khayalan cinta semata- mata tidak ada nilai seni dan sastera padanya. lain halnya dengan karya- karya yang berjenamakan islami, tetapi tersirat makna cinta, yang ada kalanya merosakkan nilai sastera itu sendiri. saya tidak mengatakan cinta illahi itu merosakkan nilai sastera, tetapi nilai- nilai cinta manusiawi itulah yang merosakkan nilai sastera.

bukanlah maksud saya untuk memulakan polemik terhadap sastera melayu, tetapi tunjang sastera yang dirintis oleh sasterawan seperti allahyarham dato’ usman awang, a.samad said, dan sebagainya telah dicemari dengan anasir- anasir kita. apakah cukup untuk kita melihat sastera yang cukup indah, bersulamkan nilai- nilai tinggi rapuh dek nilai- nilai cinta? saya cukup teruja dengan novel- novel karya penulis seperti faisal tehrani, yang bagi saya lebih memberatkan nilai- nilai keislaman tanpa menyulamkan cinta sebagai pewarna karya beliau. malang disebabkan ramai kita yang terlalu buta mata hati untuk menilai harga sesuatu karya. mereka lebih puas mengatakan nilai- nilai komersial dalam karya- karya cinta lebih bernilai. apakah kita suka melihat kerapuhan bahasa ibuda kita, hanya kerana rojaknya bahasa dalam karya-karya cinta? fikirkan semua ini kerana dunia bahasa kita semakin lama semakin suram.

saya suka melihat karya- karya prosa arab yang ditulis banyak menggumam tema- tema kemanusiaan, seperti novel ‘mausimul hijrati ila as-syimal‘ yang ditulis oleh at-tayyib saleh dari sudan, dan novel ‘anta munzul yawm‘ oleh taysir as-sabul dari jordan. kalau dari aspek puisi, kita boleh kaji karya- karya mahmoud darwish, badr syakir as-sayyab, nazikul malaikah, abdul wahhab bayyati, dan sebagainya. ini lah role model dunia kesusasteraan arab.

insya allah, di dalam penulisan yang akan datang, saya akan menceritakan tentang kebangkitan sastera arab moden. berjumpa lagi di dunia yang akan datang.

1 Comment

Filed under penulisan sastera, puisi

pengaruh maqamat ke dalam sastera andalus

Pengaruh seni maqamat ke dalam sastera di Andalusia.

Seni maqamat merupakan salah satu bentuk penceritaan yang diperkenalkan pada kurun ke-4 hijrah melalui badiuzzaman al-hamazani, dan seni ini merupakan antara bentuk cerita yang meletakkan perawi dan watak utama yang sama dalam semua tajuk ceritanya, dan maqamat ini menjurus kepada kritikan masyarakat pada zaman tersebut.

Namun, pada penulisan kali ini, saya akan membawakan kepada anda satu bahagian daripada maqamat yang memberikan kesan dan pengaruh kepada perkembangan seni penceritaan di Andalusia , terutamanya selepas kebangkitan pada awal kurun ke-12.

Para pengkaji sastera bandingan melihat bahawa maqamat yang dikarang oleh al-Hariri telah diterima di barat, terutamanya Andalusia, sehingga dapat dilihat penulis seperti abu at-tahir Muhammad bin yusuf as-saraqusti (1122m) menghasilkan maqamat yang serupa dengan maqamat al-Hariri, yang disebut sebagai al-luzumiah ataupun as-saraqustiah. Selain daripada itu, terdapat penulis yang menganalisa maqamat tersebut dan menjelaskan kepada maksud yang terperinci, iaitu abu al-abbas ahmad bin Abdul mukmin asy-syarisyi (1322m), selain lisanuddin bin al-khatib.

Maqamat yang dihasilkan oleh al-Hariri dan al-hamzani menggunakan langgam bahasa ritma, dan setiap perkataan disulam dengan rima yang tertentu. Walau bagaimanapun terdapat maqamat yang melangkaui gaya bahasa yang beritma, antaranya maqamatul ‘aid yang ditulis oleh Abdullah  bin ibrahim al-gharnathi (1350m).

Sekarang, kita lihat pula kepada maqamat yang dituls dalam bahasa ibrani, iaitu yang per tama ditulis oleh Suleiman bin saqbal yang menulis maqamat bertajuk Tahkumuni yang meletakkan watak utamanya Ashir. Akan tetapi peranan watak tersebut dari sudut nilai kesenian dan sastera mungkin agak kurang jika dibandingkan dengan watak al-hamzani dan al-Hariri. Manakala jalan bahasanya pula lebih kepada penggunaan bahasa beritma saperti yang dikatakan sebelum ini. Manakala orang kedua yang menulis maqamat di dalam bahasa ibrani ialah yahuza bin Suleiman al-harizi yang mengikut gaya maqamat al-Hariri, juga menterjemahkan karya ini, namun x lengkap. Kemudian beliau menghasilkan maqamat juga dengan nama Tahkumuni, tetapi menggunakan nama Heber sebagai watak utama, dan watak ini menyerupai watak abu zaid as-saruji yang terdapat pada maqamat al-Hariri.

Selain itu, terdapat nama yang menulis maqamat dalam bahasa ibrani, iaitu ibrahim bin Samuel halifi bin hasdayi al-barshaluni (1240), dan beliau menterjemahkan kisah (Balaam wa yuwasif) dengan nama (ibnul malik waddarwish) dan terjemahan maqamat ini dibahagikan kepada beberapa bahagian yang mengandungi cerita- cerita pendek dan potongan puisi keagamaan dan nasihat, dan beliau antara mereka yang bertungkus- lumus dalam menterjemahkan segala tinggalan pemikir- pemikir arab, antaranya kitab (mizanul a’mal) oleh al-ghazali dan kitab- kitab yang lain.

Penulis yang terakhir daripada bahagian ini ialah yaakub bin al-’azar at-tulaitili yang menterjemahkan kisah (kalilah wa dimnah) ke bahasa ibrani, selain membantu dalam penerbitannya ke bahasa eropah. Beliau juga antara penulis yahudi yang menggembleng tenaga dalam memindahkan kebanyakan pemikiran dan kebudayaan arab ke eropah.

Dalam bahagian yang akin datang, saya akan menjelaskan tentang bentuk kisah yang dihasilkan di sepanyol kesan daripada pengaruh maqamat arab, dan kisah ini dinamakan (novel picaresque).

novel picaresque inilah yang membentuk pengaruh sastera di eropah terutamanya pada kurun ke 12-13 m.

Leave a comment

Filed under penulisan sastera