Monthly Archives: September 2009

REALISMA DI DALAM NOVEL VT OLEH HILAL ASYRAF

REALISMA DI DALAM NOVEL VT OLEH HILAL ASYRAF

Realisma merupakan salah satu daripada bentuk kritikan moden, di mana realisma melihat kepada keupayaan sesorang penulis untuk mengaplikasikan segala idea yang ada melalui pengalaman dan keadaan reality di dalam masyarakat.

Di dalam kajian sastera, banyak pengkritik sastera rumpun arab memilih Naguib Mahfouz sebagai ikon di dalam penghasilan karya- karya berunsur realisma. Dan di dalam penulisan ini, penulis akan menumpukan aspek realisma dan hubungkait dengan islamisasi di dalam novel “VT” yang ditulis oleh Hilal Asyraf.

Salah satu realisma yang ditonjolkan di dalam novel ini ialah pemilihan watak dan latar. Pemilihan watak bersesuaian dengan realiti kumpulan bola tampar Ma’had Attarbiyyah Al-Islamiah Perlis (MATRI), dan kesemua watak yang dipaparkan di dalam novel ini adalah watak sebenar di dalam pasukan bola tampar tersebut. Lihat beberapa nama yang diambil sebagai watak- watak di dalam novel tersebut, seperti watak Zulkarnain, Farhan, Abdul Qahar, Ustaz Saiful Rahman, Ustaz Mahadzir, dan sebagainya. Mereka ini adalah pelajar- pelajar asal MATRI yang bermain untuk pasukan bola tampar sekolah tersebut dan secara kebetulan pasukan mereka menjulang trofi utama kejohanan bola tampar Majlis Sukan Sekolah- Sekolah Perlis (MSSP’S) untuk 2008.

Satu yang mungkin menjadi persoalan, bagaimana penulis menggunakan ruang lingkup pengalaman beliau di dalam menghasilkan novel yang mungkin orang anggap enteng kerana tidak memasukkan unsur cinta di dalam novel beliau yang dianggap islami? Pertama, beliau merasakan bahawa novel ini semestinya sarat dengan pelbagai nasihat dan pengajaran, di samping meletakkan nilai persahabatan dan kemanusiaan sebagai tema utama di dalam novel tersebut. Kedua, penulis merupakan salah seorang daripada pasukan bola tamper tersebut, dan beliau menulis novel ini sebagai perkongsian maklumat dan pengalaman beliau di dalam pasukan tersebut, yang banyak suka dan duka di dalam menempuh cabaran sebagai seorang pemain bola tampar.

Selain itu, plot yang disusun sepanjang penceritaan novel ini, ditumpukan dengan bebrapa kaedah, antaranya imbas kembali, seperti watak Asyraf yang mengimbas kembalik detik- detik kemerosotan sukan bola tampar di sekolah tersebut, selain dialog Ustaz Saiful yang mengimbas kembali semua taktik kotor Cikgu Senan di dalam karier beliau.

Pemilihan latar juga merupakan satu ciri penting di dalam menghasilkan sesuatu karya yang bersifat realiti, contohnya pemilihan tempoh persekolahan dari awal semester pertama (Januari) sehingga akhir cuti persekolah semester tersebut (akhir Mei- awal Jun), di samping pemilihan waktu kejohanan di pertengahan bulan Mei. Selain itu, penulis mengambil contoh beberapa tempat sebagaai rujukan latar ,misalnya pemilihan Perkampungan Tunjong, Beseri Perlis; di samping beberapa nama kampus di wilyah tengah dan selatan semenanjung, iaitu UIAM, USIM, KOUITHO, dan UTM. Manakala suasana masyarakat yang digambarkan di dalam novel ini digambarkan sebagai kumpulan pelajar yang menuntut di MATRI, Sekolah Sukan Negeri Perlis (SSNP), dan beberapa latar masyarakat penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Apa perkaitan antara islamisasi dan realisma yang digarap di dalam novel tersebut? Penulis menghubungkaitkan antara tiadanya hubungan antara pencipta dan manusia mewujudkan satu keadaan yang mungkin menjadi punca tiadanya hubungan yang erat antara manusia. Kerana itulah penulis cuba memasukkan unsur hubungan pencipta dengan manusia dan menyerap di dalam realiti pasukan bola tampar tersebut untuk menunjukkan bahawa walaupun tidak mempunyai stamina atau kemudahan sukan yang lengkap, tetapi hubungan yang erat antara tuhan dan manusia menjadi satu dari sebab kejayaan yang hakiki, duniawi atau ukhrawi.

Dari sudut gaya bahasa, penulis novel menggunakan langgam bahasa santai, yang tidak memberatkan pembaca untuk memahami apa yang digarap oleh penulis di dalam karya beliau, selain itu, penggunaan teknik dialog dan monolog diseimbangkan supaya pembaca tidak cepat bosan di dalam membaca dan menghayati novel tersebut. Setiap hujung bab di dalam novel itu ditutup dengan teknik saspen, supaya pembaca tertanya-tanya apakah kesudahan setiap bab tersebut.

Sebagai kesimpulannya, novel ini merupakan satu percubaan Hilal Asyraf untuk terjun ke dalam dunia penulisan sastera serius, dan novel ini boleh dikatakan mampu untuk menandingi kehebatan novel pop-islam yang terkenal seperti Ayat- Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan sebagainya. Mungkin inilah masanya untuk kita mengubah selera pembacaan kita daripada novel- novel pop-islami dan picisan kepada karya berunsur islam keseluruhannya.

4 Comments

Filed under penulisan sastera